Netbook P1 dilengkapi Wimax

Wednesday, February 10, 2010 |

PACKET One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) akan membelanjakan RM200 juta bagi meningkatkan liputan jalur lebar tanpa wayar (Wimax) sehingga mencecah 45 peratus di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai, berkata perbelanjaan modal itu bertujuan meningkatkan jumlah pelanggannya kepada kira-kira 200,000 orang tahun ini berbanding lebih 100,000 dicatatkan tahun lalu.

Menurutnya, peruntukan itu sebahagian daripada keseluruhan perbelanjaan modal P1 berjumlah RM1 bilion bagi tempoh empat tahun dari 2008 hingga 2012 dengan RM400 juta sudah dibelanjakan tahun lalu. Katanya, jumlah pelanggan P1 meningkat kepada lebih 100,000 pada Oktober 2009 daripada sifar ketika mula dilancarkan Ogos 2008, sekali gus menjadikannya sebagai syarikat yang mempunyai pelanggan Wimax terbesar di negara ini. “Mengenai liputan pula, P1 bercadang meningkatkan liputan Wimax kepada 45 peratus di seluruh negara tahun ini berbanding 35 peratus pada 2009 yang hanya membabitkan kawasan Semenanjung Malaysia.

“Langkah itu selaras matlamat P1 untuk mencapai sasaran liputan Wimax kepada 65 peratus di seluruh negara menjelang 2012 termasuk Sabah dan Sarawak yang dijadualkan dimulakan pada suku kedua tahun ini,” katanya pada satu taklimat media di Petaling Jaya, semalam. Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan terhadap sambungan jalur lebar mudah alih tahun ini, pihaknya bercadang memperkenalkan beberapa pembaharuan kepada barisan produk ditawarkan. Katanya, antaranya membabitkan pelancaran modem baru yang lebih moden iaitu ‘Shuttle’ dan ‘Tower’ dalam tempoh terdekat selain pelancaran Netbook pertama P1 dipasang siap dengan Wimax yang bakal diperkenalkan pada separuh kedua tahun ini.

Menurutnya, Shuttle, Tower dan Netbook mempunyai ciri ‘embedded’ iaitu segala sokongan boleh disatukan dalam satu peralatan. “Berdasarkan corak penggunaan jalur lebar yang meningkat, kami merancang menjalinkan kerjasama dengan syarikat perkakasan elektronik lain bagi memasang siap jalur lebar Wimax dalam produk elektronik seperti kamera dan komputer. “Netbook P1 ini adalah hasil kerjasama beberapa pihak dalam industri pengkomputeran seperti Intel dan sebuah syarikat pengeluar komputer sebagai bukti langkah kami untuk memperluaskan skop produk yang menepati keperluan pengguna masa kini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment