Ahli KWSP minat saham amanah

Saturday, June 12, 2010 |


SEBAHAGIAN besar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih mengeluarkan simpanan persaraan masing-masing untuk dilaburkan ke dalam saham amanah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, dalam satu kenyataan semalam, berkata jumlah dikeluarkan di bawah Pengeluaran Pelaburan Ahli pada suku pertama 2010 meningkat 43.26 peratus kepada RM911.15 juta berbanding RM636.01 juta dikeluarkan pada tempoh sama tahun lalu.
Manakala, jumlah permohonan yang diluluskan di bawah pengeluaran ini meningkat kepada 113,809 daripada 87,420 pada tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan pengeluaran bagi pelaburan selaras dengan pemulihan ekonomi domestik yang bermula pada suku ketiga 2009 dan terus meningkat hingga kini.

“Malah, ia turut meningkat berikutan pertambahan jumlah ahli yang layak membuat pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, keutamaan terhadap pelaburan berhemah juga mencerminkan peningkatan jumlah pesara yang memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 bagi memanjangkan nilai simpanan persaraan masing-masing berbanding Pengeluaran Penuh Umur 55.