Nik Aziz tegur pengantin lelaki pakai emas

Saturday, February 13, 2010 |

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur sesetengah masyarakat di negeri itu yang menggunakan cincin emas untuk disarungkan kepada pengantin lelaki.

Katanya, amalan menyarung cincin kepada pengantin lelaki tidak salah walaupun budaya itu datang dari Barat, namun ia bukan diperbuat daripada emas.

“Kerana hendak nampak mahal ada yang bagi emas putih, itu salah. Kalau nak pakai, pakailah yang perak. Nak suruh mahal tetapi haram itu tidak ikut Islam,” katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaatnya di sini, semalam.

Katanya, barang perhiasan buatan emas dikhususkan untuk pemakaian perempuan dan adalah tidak sesuai bagi lelaki yang diciptakan untuk bekerja.

Dalam pada itu, Nik Aziz menyarankan agar masyarakat menyegerakan urusan pengebumian jenazah yang baru meninggal dunia.

“Ada daripada kita melambatkan urusan pengebumian kerana tunggu anak balik dari Singapura dan Kuala Lumpur, kenapa tunggu? Itu adalah budaya Melayu, apabila orang mati dia nak cepat menghadap tuhan,” katanya.