Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Saturday, January 2, 2010 |

Harga gula naik 20 sen


PUTRAJAYA: Harga runcit gula di pasaran tempatan dinaikkan 20 sen sekilogram berkuat kuasa tengah malam tadi, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Beliau berkata, harga runcit baru gula di Semenanjung ialah RM1.65 sen sekilogram, manakala di Sabah dan Sarawak RM1.75 sekilogram.

"Kerajaan mengambil langkah itu berdasarkan faktor sosioekonomi dan harga gula mentah di pasaran dunia yang kini mencecah RM2.20 sekilogram berbanding RM1.35 sekilogram ketika kontrak jangka panjang bagi 2009-2011 ditandatangani dengan pembekal gula antarabangsa sebelum ini.

"Langkah itu juga bertujuan mengurangkan subsidi yang terlalu tinggi terpaksa dibayar kerajaan kepada pengilang gula setiap tahun bagi memastikan harga runcit bahan itu sentiasa stabil," katanya pada sedia media di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun harga gula di seluruh negara dinaikkan 20 sen sekilogram, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen sekilogram atau RM1.008 bilion pada 2010 berbanding RM720 juta pada tahun lalu.

"Pemberian subsidi itu juga bertujuan mengurangkan beban ditanggung pengguna dan pihak industri berikutan kenaikan harga gula di pasaran dunia," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram itu secara relatifnya masih rendah berbanding negara Asean lain termasuk Thailand RM2.50 sekilogram, Singapura (RM3.05 sekilogram), Indonesia (RM3.40 sekilogram) dan Filipina (RM3.62 sekilogram).

Malah, beliau berkata rakyat di negara ini mungkin terpaksa berdepan kenaikan harga gula sebanyak RM1 sekilogram jika kerajaan tidak memberikan subsidi.

Katanya, jika kerajaan mengekalkan harga gula pada paras lama, iaitu RM1.45 sekilogram di Semenanjung dan RM1.55 di Sabah dan Sarawak, jumlah subsidi terpaksa ditanggung adalah se RM1.26 bilion setahun.

"Justeru, kerajaan mengambil keputusan subsidi akan dibayar tetapi jumlahnya dikurangkan dengan meningkatkan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram berkuat kuasa mulai jam 12 tengah malam ini (malam tadi)," katanya.
Beliau berkata, kajian kementerian juga mendapati kenaikan harga gula juga akan memberi kesan minimum terhadap peningkatan harga barang makanan yang mempunyai kandungan gula seperti susu cair, teh tarik dan minuman dalam tin.

"Misalnya, secawan teh tarik atau kopi yang kita anggarkan mempunyai kandungan gula sebanyak 40 gram akan menerima kesan kenaikan harga sebanyak 0.8 sen.

"Kementerian akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan peniaga makanan dan pemilik restoran tidak menaikkan harga makanan sesuka hati," katanya.

Beliau berkata mulai hari ini, kerajaan menarik balik subsidi bagi roti putih dan mengeluarkannya daripada kawalan.