KWSP beri dividen lebih tinggi

Tuesday, February 9, 2010 |

Dianggar 12 juta pencarum nikmati faedah akhir Mac

PUTRAJAYA: Lebih 12 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperoleh dividen lebih tinggi daripada 4.5 peratus yang diberikan pada 2008, selewat-lewatnya akhir bulan depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman.

Beliau berkata, pembayaran kadar dividen lebih tinggi itu didorong oleh faktor keuntungan sektor pelaburan KWSP, pemulihan ekonomi global dan harga saham di pasaran tempatan.

“Kita belum menetapkan berapa kadar dividen yang akan diberikan kepada pencarum bagi 2009 kerana Ahli Lembaga Pemegang Amanah KWSP hanya akan bermesyuarat, pada akhir bulan ini.

“Bagaimanapun, kita men jangkakan kadar dividen bagi 2009 yang akan diumumkan selewat-lewatnya akhir Mac depan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau yang juga Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Putrajaya 2010 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Sisiran Tasik Putrajaya, di sini, semalam. 
Pada 2008, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 4.5 peratus hasil pendapatan bersih RM14.26 bilion selepas ditolak peruntukan susut nilai ekuiti dan hutang ragu, bayaran dividen untuk pengeluaran, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan bayaran manfaat kematian serta hilang upaya.

Kadar dividen tertinggi yang pernah dibayar KWSP kepada pencarumnya sejak 2001 adalah sebanyak 5.8 peratus pada 2007.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan pendapatan pelaburannya dalam suku ketiga 2009 melonjak sebanyak 52.71 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding hanya RM3.6 bilion dalam tempoh sama pada 2008.

Jika dibandingkan dengan RM4.8 bilion yang diraih pada suku kedua 2009 pula, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 14.51 peratus.
Berikutan itu, pendapatan pelaburan terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu adalah berjumlah RM13.56 bilion.