Dua lelaki curi jongkong emas dihukum penjara dan sebat

Wednesday, January 27, 2010 |

PULAU PINANG: Dua lelaki dihukum penjara empat tahun dan sebat selepas didapati bersalah merompak jongkong emas dan barang berharga di sebuah kilang di sini dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Rosilah Yop menjatuhkan hukuman itu selepas pihak
pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan yang didakwa
dilakukan oleh Ooi Eng Hiap, 26, dan Chuan Guan Teik, 27.


Hakim Mahkamah Sesyen Rosilah Yop menjatuhkan hukuman itu selepas pihak
pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan yang didakwa
dilakukan oleh Ooi Eng Hiap, 26, dan Chuan Guan Teik, 27.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ooi dan Chuan dihukum penjara
masing-masing empat tahun. Ooi juga dikenakan hukuman dua sebatan dan Chuan pula
tiga sebatan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kilang Legend Art Gold di No 16,
Tingkat 1, Fortune Park, Jalan Perusahaan Jelutong 2 di sini, pada 11 malam 29
Disember 2008.

Bagi pertuduhan pertama, mereka berdua didakwa telah merompak lapan kilogram jongkong emas, lima kilogram barang kemas, wang tunai dan alat perakam
serta unit pemprosesan komputer kamera litar tertutup (CCTV) milik Kilang
Legend Art Gold Smith bernilai RM1.4 juta.

Tuduhan kedua, Ooi dan Chuan didakwa telah merompak sepasang subang emas,
sebentuk cincin, sebuah kereta, dua telefon bimbit, dan satu komputer
riba milik Cheah Saw Zhen, 23.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Amir Abdul Rani, manakala
pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwa Raya, Sariza Ismail.

Hakim Rosilah memerintahkan hukuman penjara terhadap mereka berdua berjalan
secara serentak dengan Ooi bermula dari hari ini manakala Chuan bermula dari
tarikh dia ditangkap pada 12 Januari tahun lalu.

Beliau membenarkan permohonan Ooi dan Chuan supaya pelaksanaan hukuman itu
ditangguhkan sehingga rayuan mereka didengar di Mahkamah Tinggi.

Rosilah juga membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin
RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, mereka ini diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin.
Hanya Ooi membayar ikat jamin.

Rosilah berkata hukuman itu dikenakan setelah mengambil kira fakta kes,
kepentingan awam dan kepentingan tertuduh.

"Dengan adanya orang seperti kamu dalam masyarakat, kehidupan masyarakat
tidak akan aman dan tenteram. Apa yang kamu berdua lakukan terhadap mangsa amat
jahat sekali.

"Kamu rompak, larikan barangannya dan mencederakannya. Semoga hukuman ini
dapat menjadi pengajaran buat kamu berdua pada masa depan dan juga orang di
luar sana yang berniat untuk melakukan kesalahan yang sama," katanya.-Bernama

2010/01/26  -HM