Klinik 1Malaysia mudah rakyat

Friday, January 8, 2010 |




NAJIB ketawa selepas diperiksa tekanan darah oleh Penolong Pegawai Perubatan, Ooi Bin Cheong yang menyatakan tekanan darah beliau normal selepas merasmikan dan melawat Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Liow dan Raja Nong Chik.

Penubuhan tak jejas pendapatan klinik swasta, pengamal perubatan: Najib
KUALA LUMPUR: Penubuhan Klinik 1Malaysia di seluruh negara tidak akan menjejaskan pendapatan doktor dan klinik swasta, malah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya rakyat berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kewujudan 50 klinik yang beroperasi sepenuhnya bulan ini bukan saja memudahkan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan awal, malah pesakit dirujuk kepada doktor swasta untuk rawatan susulan.




Pada masa sama, Najib mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memastikan pendapatan pengamal perubatan tidak terjejas berikutan usaha kerajaan itu.

"Tidak terjejas, sebab pesakit dari Klinik 1Malaysia akan rujuk kepada mereka (klinik swasta). Jika pesakit ada hubungan dengan mana-mana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka.

"Klinik ini untuk memudahkan rakyat mendapat pemeriksaan biasa seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula. Untuk pemeriksaan lanjut, mereka boleh pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.
"Saya tidak anggap Klinik 1Malaysia sebagai situasi menang-kalah, tetapi situasi menang-menang, rakyat mudah dan doktor swasta akan dapat pelanggan macam biasa," katanya pada sidang media selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai, di sini semalam.

Turut hadir, Liow dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pelancaran klinik itu adalah yang pertama dilaksanakan, sekali gus menandakan pelancaran 44 klinik sama di seluruh negara yang sudah beroperasi setakat ini, manakala bakinya menjelang akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata, pelancaran klinik itu amat signifikan kerana ia dilaksanakan dalam tempoh singkat iaitu dua bulan selepas pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu dengan peruntukan RM10 juta untuk 50 klinik.
Peruntukan untuk setahun itu membabitkan kerja ubah suai dan peralatan dalaman bangunan selain ubat-ubatan. Klinik itu beroperasi setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam yang dikendalikan seorang penolong pegawai perubatan, seorang jururawat terlatih dan seorang pembantu perawatan kesihatan yang bekerja dua syif.

Najib tidak menolak kemungkinan menambah lebih banyak Klinik 1Malaysia khususnya di kawasan bandar yang padat penduduk akibat penghijrahan ke bandar.

Katanya, buat masa ini, kerajaan akan menentukan keberkesanan perkhidmatan itu selain pendekatan baru yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan mutu perkhidmatan sebelum membuat sebarang ketetapan penambahan.

"Klinik ini kebanyakannya di bandar sebab di luar bandar sudah ada 2,000 klinik desa yang ditubuhkan sejak merdeka. Kadar caj juga sama sebanyak RM1... sangat murah, paling murah di dunia," katanya.

Ketika melancarkan Klinik 1Malaysia di Rumah PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang, Najib menasihatkan rakyat sentiasa memantau secara berkala bacaan tekanan darah (BP) dan paras kandungan gula dalam tubuh kerana ia menjadi punca penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Selain itu, katanya, kewujudan klinik berkenaan akan membantu Kementerian Kesihatan mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.


Elak Sertai Pelaburan Haram

|



Elak sertai pelaburan haram, program latihan dagangan mata wang asing: BNM
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menasihati orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana pelaburan haram atau program latihan dagangan mata wang asing yang ditawarkan oleh individu atau syarikat.

BNM dalam satu kenyataannya, berkata orang ramai kebiasaannya tertarik untuk menghadiri program pelaburan atau latihan yang menjanjikan pulangan yang segera dan besar.

Katanya, modus operandi program sedemikian dengan menawarkan latihan, seminar, bengkel percuma untuk menarik pelabur, sebelum menjemput mereka mewujudkan satu akaun dagangan mata wang asing dengan syarikat utama.

“Syarikat itu dikatakan mempunyai lesen sah untuk berdagang mata wang asing di seberang laut. Ia juga termasuk menyediakan akses mudah ke laman web syarikat utama dan memudahkan dagangan mata wang asing secara dalam talian dikalangan pelabur serta bagi mengambil siswazah baru sebagai eksekutif pemasaran.

“Siswazah juga digalakkan untuk menarik ahli keluarga dan rakan-rakan bagi berdagang mata wang asing,” katanya

Selain itu, BNM berkata, program sedemikian turut menghendaki pelabur mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun bank untuk memulakan dagangan mata wang asing dan seterusnya meminta ditambah bagi mencukupkan jumlah yang berkurangan berikutan pelaburan awal masing-masing (penggilan margin) bagi mengelakkan kehilangan modal.

Di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA), katanya adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing atau terbabit dalam sebarang perbuatan atau mempunyai kaitan atau membuat persediaan di dalam membeli atau menjual mata wang asing dengan sebarang orang atau selain daripada peniaga yang dibenarkan.

Adalah juga menjadi kesalahan bagi seseorang untuk membantu atau bersubahat dengan seseorang yang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan seseorang, kecuali individu itu adalah seorang peniaga yang dibenarkan.

Senarai peniaga dan institusi kewangan yang dibenarkan oleh Pengawal Pertukaran Asing untuk membeli atau menjual mata wang asing boleh diperolehi dari laman web BNM (http://www.bnm.gov.my/fxadmin).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNM di talian 1-300-88-5465 atau e-mail (bnmtelelink@bnm.gov.my). - Bernama