Lombong emas tak jejas alam

Thursday, January 14, 2010 |

RAUB: Kerajaan memberi jaminan operasi perlombongan Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAM) di Bukit Koman, dekat sini tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan ancaman kesihatan kepada penduduk.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup, berkata pihak syarikat sudah memberi jaminan kadar sianida yang digunakan dalam proses mengekstrak emas di lombong itu adalah pada tahap minimum.

“Pihak kementerian bersama pegawai agensi daripada Jabatan Geosains dan Mineral serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) diberi taklimat oleh pengurusan syarikat mengenai operasi dan proses yang dilakukan oleh RAM.

“Malah, kita turut membawa wakil rakyat dan seorang Ahli Parlimen untuk mendengar taklimat diberikan syarikat supaya mereka mendapat gambaran lebih jelas dan kemudian dapat memberi penerangan kepada penduduk," katanya pada sidang media yang bertukar menjadi dialog apabila beberapa pemimpin penduduk meluahkan rasa tidak puas hati ke atas kegagalan RAM memberi jaminan kepada penduduk.

Sebelum itu, sewaktu mahu memulakan sidang media, seorang pemimpin tempatan, Mustapha Hussin tiba-tiba mencelah sambil memberitahu bahawa kaedah perlombongan yang diamalkan syarikat itu tidak sesuai dipraktikkan di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Anti Sianida Penduduk Bukit Koman yang menentang penggunaan sianida berkata berbanding lombong emas di Australia yang dijalankan di kawasan gurun, lombong emas di Bukit Koman terlalu hampir dengan kawasan penempatan, kawasan sumber tadahan air dan ladang kelapa sawit.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Choong Siew Onn, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa serta pemimpin Kampung Bukit Koman dan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Datuk Yunus Abd Razak dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Rosnani Ibarahim.

Kurup berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pengurusan RAM berhubung pengendalian dan penggunaan sianida dalam proses pengekstratan emas di lombong itu.

“Saya difahamkan, mereka menggunakan sistem yang teratur dan mematuhi garis panduan dan syarat yang ditetapkan JAS.

“Malah, kewujudan kilang ini memberi banyak manfaat seperti pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama golongan muda,” katanya.

Sumber : Berita Harian 14/1/10

0 comments:

Post a Comment