Bold baru mengagumkan

Wednesday, February 24, 2010 |

RAMAI beranggapan Blackberry Bold 9700 sebagai model terbaik Blackberry yang pernah dibangunkan Research In Motion (RIM), pengeluar siri telefon pintar berkenaan dan kerana itu, tidak hairanlah kemunculannya bagi pasaran negara ini sememangnya sangat dinantikan.
Penulis sendiri begitu teruja apabila diberi kesempatan oleh Celcom Axiata Bhd untuk mencuba bagi meninjau keupayaan telefon berkenaan bagi tempoh sebulan.
Satu daripada ciri baru yang terdapat pada Blackberry Bold 9700 ialah penggunaan pad sesentuh (trackpad) bagi menggantikan bebola sesentuh (trackball) yang digunakan pada model sebelum ini.

Walaupun mulanya terasa agak janggal, selepas beberapa hari, penulis mula selesa dan dapat menyesuaikan diri menggunakan trackpad ini, lebih-lebih lagi ia lebih berkesan menghalang debu daripada terlekat.

Penggunaan trackpad juga memudahkan titik tetikus maya untuk bergerak ke seluruh skrin. Model Bold lama mempunyai skrin dan saiz papan kekunci mengagumkan selain capaian data cepat, namun terdapat isu mengenai tempoh ketahanan baterinya.

Masalah itu berjaya diatasi RIM melalui model Blackberry Bold 9700. Walaupun kerap melayari internet sama ada menerusi rangkaian mudah alih yang disediakan Celcom atau sambungan WiFi selain memastikan mod 3G terpasang sepanjang masa, baterinya mampu bertahan lebih dua hari sebelum dicaj semula atau dua kali lebih lama berbanding kebanyakan model telefon pintar lain.

Setakat ini, boleh dikatakan kebanyakan model Blackberry menampilkan butang kekunci menarik dan sesuai digunakan bagi tujuan kerja dan dalam hal ini, Blackberry Bold 9700 tidak terkecuali.

Berbanding model Bold lama, ia dilengkapi butang kekunci bersaiz lebih kecil. Bagaimanapun, kurang menimbulkan berikutan rekaan butang mempunyai rabung yang mampu memastikan ketepatan tinggi bagi setiap sentuhan sekali gus meminimumkan kesalahan ejaan.

Bold 9700 juga membuatkan pengalaman membuka laman web berat, meninjau data yang dihantar bersama emel serta berkomunikasi menerusi rangkaian sosial kini boleh dilakukan dengan lebih pantas dan mengambil masa tidak sampai lima saat.

Sungguhpun kestabilan sambungannya masih bergantung kepada tempat berikutan tidak semua kawasan mempunyai perkhidmatan rangkaian 3G, pengguna mempunyai pilihan lain termasuk WiFi dan EDGE.

Sokongan WiFi dipermudahkan dengan beberapa langkah ringkas untuk membuat sambungan serta tanda peringatan ketika melalui kawasan liputan yang mempunyai perkhidmatan WiFi.

Proses memindah naik data ke internet juga lebih baik, khususnya bagi tujuan perkongsian video atau gambar rakaman menerusi kamera 3.2 megapiksel yang terdapat di bahagian belakang telefon bersama lampu flashnya.

Ujian pindah naik gambar ke laman web sosial menggunakan rangkaian 3G Celcom hanya mengambil masa antara satu hingga dua minit saja, bergantung kepada tempat dan saiz gambar.

Bagaimanapun, sedikit mengecewakan apabila melayari laman web yang kompleks, forum dan laman interaktif yang mempunyai susun atur halaman berbeza dengan laman web biasa.

Ini kerana agak sukar untuk 'mengunci' pautan butang hubungan secara tepat pada laman-laman terbabit dengan menggunakan trackpad.

Pengalaman berbeza bagaimanapun boleh dikecap apabila menggunakan aplikasi emel atau melayari ruangan sembang sama ada BlackBerry Messenger, Yahoo Messenger dan GoogleTalk menerusi telefon ini yang boleh disifatkan sangat mudah serta mengagumkan terutama apabila pengguna mula mahir menggunakan butang pintas pada kekuncinya.
Bold 9700 juga praktikal untuk pindah turun data bagi memainkan muzik sehingga 35 jam dengan sokongan storan binaan dalaman 256 megabait tidak termasuk kapasiti tambahan menerusi kad microSD.

Peti suara Bold 9700 mengalunkan muzik dan video dengan lebih jelas dan berkualiti jika dipasang di tempat bersuasana sunyi.

Secara keseluruhannya, Blackberry Bold 9700 sememangnya layak dinobatkan model Blackberry terbaik setakat ini. Pengenalan pelbagai ciri baru juga mampu memastikannya terus memegang kepentingan besar dalam pasaran telefon pintar.

Sejajar pelancaran Bold 9700, Celcom memperkenalkan dua aplikasi eksklusif iaitu sistem navigasi 'Celcom Compas' dan 'Celcom Stock Manager'.

Bagi golongan pelabur, Celcom Stock Manager sememangnya alternatif terbaik untuk memperoleh maklumat terkini pasaran saham, namun bagi pengguna biasa, Celcom Compas masih memerlukan beberapa penambahbaikan.

Gandingan Celcom dan Bold 9700 ini juga menawarkan prestasi yang melewati jangkaan membabitkan keunikan reka bentuknya dengan saiz lebih nipis sekali gus memastikan keselesaan apabila dipegang selain penutup baterinya yang bersalut kulit kelihatan begitu klasik dan bergaya.

>Spesifikasi
PRODUK: Blackberry Bold 9700
PENGELUAR: Research In Motion
HARGA: RM1,988 (mengikut pelan Celcom)
PERTANYAAN: Celcom Axiata Berhad
TELEFON: 1-800-111-777
LAMAN WEB: www.celcom.com.my/biz


>Komen
KESELURUHAN: * * * *
REKABENTUK: * * * *
MESRA PENGGUNA: * * * *
NILAI WANG: * * * 1/2

0 comments:

Post a Comment