Bebas yang bertanggungjawab

Monday, February 8, 2010 |

Jalur lebar tanpa sempadan jadi medan perbahasan isu-isu sensitif sehingga mencetuskan perbalahan kaum, bangsa dan agama. Sejauh mana kita faham demokrasi di media bernama Internet?



"PADAN muka dengan blogger itu, baru dia tahu langit tinggi atau rendah!. Dia boleh digelar penderhaka, derhaka kepada sultan. Hukuman harus dikenakan dan ditayangkan kepada rakyat supaya lebih berhati-hati apabila membabitkan maruah sultan dan raja."
Ini hanya sedikit cebisan kekecewaan rakyat negara ini yang terguris dengan kenyataan menghina kemangkatan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dan kerajaan negeri Johor baru-baru ini.
Nama Aduka Taruna tiba-tiba menjadi buah mulut dan mencetuskan kemarahan rakyat negara ini terutama di negeri Johor yang mahu tindakan tegas dikenakan ke atasnya.

JALUR lebar tanpa sempadan boleh mendorong isu sensitif menjadi lebih serius jika dibiarkan.


Menerusi enjin pencarian Google, banyak blog-blog membahas dan menghakimi isu yang dianggap terlalu sensitif untuk diperkatakan itu.
Medium jalur lebar sekali lagi menarik perhatian ramai apabila menerusi sebuah blog telah menimbulkan kemarahan yang bukan sedikit.
Namun di sebalik keterlanjuran Aduka dalam meluahkan emosi di blognya itu timbul persoalan, sejauh manakah seseorang itu bebas bersuara di Internet?

KHAIRUL NIZAM ABD. GHANI didakwa atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Iskandar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail di dalam blognya.


Masih ingatkah anda dengan kes Wee Meng Chee atau Namawee. Namawee seorang pelajar Malaysia yang sedang belajar di Taiwan memuat turun lagu nyanyian yang menghina lagu kebangsaan, Negaraku di laman YouTube.
Malah, dalam lagu yang sama Namawee turut menyemarakkan api perkauman apabila mempertikaikan hak ketuanan orang Melayu.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim ketika menjelaskan kebimbangan itu berkata, dalam mesej pembangunan 1Malaysia, setiap individu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang mereka lakukan.

INDIVIDU yang tidak mendapat perhatian sering menjadikan blog untuk melahirkan ketidakpuasan hati.


"Bertanggungjawab bermaksud mereka yang terbabit mesti bersedia dengan tindakan undang-undang yang termaktub bagi kesalahan yang dilakukan.
"Sebagai seorang penulis sama ada di akhbar, buku majalah atau blog undang-undang negara tetap menjadi kayu ukur dan tahap penentuan bagi setiap kenyataan yang dikeluarkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tegas Rais, dalam konteks perkhidmatan jalur lebar tanpa sempadan perlu dilihat sama ada penulisan sesuatu blog itu berdasarkan kenyataan membina atau sentimen peribadi.

KEBEBASAN bersuara melalui jalur lebar harus ada batasan. - Gambar hiasan


Pendekatan undang-undang
"Masyarakat perlu bijak membezakan tujuan pihak tertentu sama ada baik atau sekadar mensensasikan sesuatu perkara," jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Muhammad Tahir Muhammad Noor menyifatkan kelebihan jalur lebar tanpa sempadan mendorong isu sensitif menjadi semakin serius sekiranya dibiarkan tanpa kawalan.

NAMAWEE dipanggil untuk disiasat di Balai Polis Bukit Aman berkenaan video menghina lagu Negaraku di YouTube.


"Setiap sesuatu itu pasti ada baik dan buruknya ini termasuklah perkhidmatan jalur lebar tanpa sempadan yang sering dimanfaatkan banyak pihak untuk mengekspresi pandangan masing-masing.
"Walaupun kebebasan bersuara menjadi elemen penting jalur lebar, perlu ada batasan supaya kelebihannya tidak disalah guna," jelas beliau.
Katanya, sukar untuk menyekat sebarang maklumat yang disebarkan melalui jalur lebar. Justeru, pendekatan undang-undang dan kesedaran awam dilihat signifikan bagi menghalang penyertaan individu lain bagi melakukan perkara sama.

MENERUSI enjin Google, banyak blog yang membahaskan isu sensitif.


"Kerajaan mungkin boleh memantau tetapi agak mustahil untuk menyekat aliran kenyataan tidak sepatutnya masuk ke jalur lebar.
"Walaupun sesetengah isu tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang, masyarakat perlu bijak membezakan perkara yang betul atau salah. Rakyat tahu menilai," katanya.
Tambah Muhammad Tahir, keterujaan masyarakat kepada perkara baru dalam perkhidmatan jalur lebar adalah salah satu punca utama masyarakat bereksperimen dengannya.

BLOG Aduka Taruna yang menimbulkan kontroversi ekoran kenyataannya menghina Almarhum Sultan Iskandar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail baru-baru ini.


"Blog adalah perkara baru, ramai penulisnya tiada pengalaman hingga menyebabkan ada sesetengah pihak tidak peka dengan isu-isu atau kenyataan-kenyataan yang sensitif.
"Melalui tindakan undang-undang ia secara langsung menyampaikan mesej kepada rakyat apa yang wajar dan tidak harus dinyatakan dengan sesuka hati," katanya.
Individu yang menyentuh sensitiviti rakyat menerusi kenyataannya sebenarnya adalah golongan yang kecewa terhadap perkara-perkara yang dibahaskannya.
Pakar Psikologi, Jabatan Kaunseling dan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Suradi Salim memberitahu, terdapat segelintir individu yang kecewa kerana tidak mendapat sesuatu yang diingininya lantas menjadikan jalur lebar sebagai medium meluahkan perasaan.

PENGGUNAAN Internet perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.


"Tidak ramai individu sebegini. Cuma sesetengah individu merasakan dirinya diketepikan dan tidak mendapat perhatian.
"Selain itu berkemungkinan individu terbabit mempunyai pengalaman buruk mengenai sesuatu perkara dengan individu yang dimaksudkan menerusi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya," katanya.
Bagaimanapun katanya, tindakan segera perlu diambil bagi menyekat perlakuan sebegini kerana jika dibiarkan, banyak pihak akan melakukan perkara yang sama lebih-lebih lagi jika mereka tidak bimbang dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Kalau mereka rasa 'tidak apa' untuk menulis itu dan ini lebih ramai yang akan menjadikannya contoh untuk diikuti," katanya.

0 comments:

Post a Comment